Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, selepas selesai penamaan
calon, beliau kini memasuki satu fasa baru, yang mana jadualnya penuh
bermula dari Subuh hingga ke malam sama ada solat berjemaah, ziarah,
kuliah, ceramah kelompok, ziarah pimpinan kawasan.
“Walaupun kadang-kadang berasa letih, tetapi rasa juga satu kepuasan
kerana berdepan dengan rakyat kerana kita ingin tunaikan tanggungjawab
sebagai seorang hamba Allah dan jika ditakdirkan sebagai seorang wakil
rakyat,” ujarnya yang menjadi calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dun
Chempaka.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam slot Bicara IKON Harapan baru-baru ini.
Sebelumnya, beliau merasakan tanggungjawab ini sebagai bebanan yang berat.
“Apatah lagi apabila kita tengok kehidupan almarhum Ayahanda Tok
Guru. Beliau laksanakan tugasnya sebagai seorang orang alim,
menyampaikan ilmu, berjumpa dengan rakyat kerana beliau sebagai seorang
wakil rakyat dan sebagai seorang Alim Rabbani, daie yang ingin
menyebarkan Islam untuk rahmat ke seluruh alam,” kata beliau.
Berikutan itulah Ustaz Nik Omar pada awalnya berasa keberatan untuk merima.
“Tetapi semuanya adalah takdir daripada Allah selain daripada
pandangan pelbagai pihak. Saya juga tidak putus berdoa kepada Allah
memberikan keputusan yang baik,” tambahnya.
Tambah beliau lagi, Insya-Allah, atas dasar rasa tanggungjawab dan
ingin memberi sumbangan bakti kepada rakyat di Dun Chempaka yang semua
tahu sebelum ini adalah tempat almarhum Ayahanda Tok Guru.
“Jadi apabila tiada keluarga yang bertanding di Pengkalan Chepa,
Khususnya di Chempaka, itu juga adalah salah satu faktor juga untuk
menyambung legasi Ayahanda Tok Guru,” jelasnya.
Ditanya mengapa beliau memilih PH, ia lebih kepada asas pendekatan
politik, khususnya di Malaysia yang akan mendepani Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14).
“Jadi jika ikuti perkembangan politik seluruh Malaysia, saya rasa
hampir semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum secara umumnya ingin
membuat perubahan kerana suasana kehidupan yang begitu tertekan,”
tambahnya.
Begitu lama rakyat Malaysia menurutnya, memberi peluang kepada
Barisan Nasional (BN) untuk memerintah tetapi tahap kehidupan rakyat
semakin lama semakin tertekan.
“Saya merasakan inilah masanya yang paling sesuai untuk kita buat
perubahan dan setiap rakyat mestilah berani membuat perubahan itu,”
serunya.
Dalam perkembangan berkaitan Nik Omar berkata, walaupun kerajaan BN semakin lemah, tetapi ia masih ada kekuatan tersendiri.
“Justeru untuk berdepan dengan kekuatan tersebut, kita perlu satu
gabungan yang kuat. Berdasarkan kepada pemerhatian saya, Tok Guru
memilih untuk bersama dengan gabungan tertentu untuk mengukuhkan lagi
usaha ke arah memenangi pilihan raya.
“Apabila Tok Guru dah tiada, saya rasa cara yang terbaik adalah
bersama dengan PH, kerana ia menggabungkan empat parti utama,” katanya.
Tambahnya lagi, masing-masing ada kekuatan yang tersendiri.
“Sama ada dalam kalangan AMANAH, dengan pimpinan-pimpinan yang
masyhur dengan aktivis, dan bersamanya ulama-ulama, yang kita tahu ia
membawa Rahmatal Lil Alamin.”
“Begitu juga PKR yang mempunyai pimpinan yang masyhur, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga serta pimpinan yang lain.
“Dan daripada Parti Bersatu, kita lihat kekuatannya yang tersendiri
yang ada pada Tun Dr Mahathir, Tan Sri Mahyuddin Yasin dan
pimpinan-pimpinan yang lain serta kerjasama dengan Parti DAP yang
bersetuju untuk sama-sama membangunkan Malaysia dengan penuh amanah dan
berintegriti,” kata beliau.
Jelasnya, dari hari ke hari, semasa ke masa rakyat seolah-olah
menunggu hari mengundi untuk menyatakan sokongan mereka kepada PH.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan