Kepesatan teknologi maklumat yang dinikmati dunia ketika ini meskipun
membawa banyak kelebihan serta kesenangan dalam kehidupan seharian
kita, malangnya turut ‘mengheret’ segelintir keburukan bersamanya.
Dalam kita berupaya mempertingkatkan capaian komunikasi dua hala
serta pengetahuan tentang serba serbi perkara di bawah matahari (under
the sun), kepesatan teknologi maklumat juga mempunyai ‘sisi gelapnya’
tersendiri.
Buli siber adalah antara permasalahan yang timbul daripadanya dan
gejala itu dilihat kian menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Menerusi
media sosial, berlaku pelbagai perbuatan mengecam, menghina, mencaci,
mengutuk, menyindir dan merendah-rendahkan.
Ada yang mengeluarkan kata-kata kesat, nista serta fitnah.
Sepertimana yang berlaku kepada Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin
dan Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei, mereka dilaporkan telah menerima
gangguan seksual dan juga ugutan bunuh di Internet baru-baru ini.
Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim
Guan Eng dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah tampil
mengecam tindakan terhadap dua wakil rakyat DAP tersebut. Pendirian
tegas pemimpin-pemimpin ini penting dalam usaha memastikan anggota
masyarakat sedar tentang betapa seriusnya isu buli terbabit.
Persoalannya, kenapa buli siber ini berlaku? Di manakah rasa
tanggungjawab sebagai pengguna media sosial? Bagaimana cara untuk
menoktahkan gejala buli siber ini daripada terus berleluasa?
Perkembangan ini amat membimbangkan. Ini terutama apabila menurut
data Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) serta
portal MyHealth Malaysia, daripada 5,000 responden menyertai kaji
selidik mendedahkan, tiga daripada 10 golongan muda Malaysia menjadi
mangsa buli siber.
Katanya, ini sekaligus mempengaruhi pendidikan dan kehidupan sosial mereka.
Daripada statistik itu, sebanyak 457 responden (sembilan peratus)
mengaku menggunakan platform digital untuk menganggu atau membuli
manakala 63 peratus responden tidak menyedari wujudnya perkhidmatan
bantuan talian buli siber.
Buli siber juga dikatakan lebih berbahaya berbanding buli fizikal
kerana ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa kawalan di alam
Internet. Sekiranya kecederaan mangsa buli fizikal dapat dilihat mata
kasar, mangsa buli siber akan mengalami gangguan dari segi mental dan
sosial. Dikhuatiri, ia akan memberi ancaman kepada nyawa mangsa buli
berkenaan.
Portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), MyHealth menjelaskan,
insiden sebenar kejadian buli siber tidak diketahui kerana ramai mangsa
buli siber tidak tampil untuk mendapatkan bantuan.
Tambahnya, buli siber
yang teruk atau kronik boleh menyebabkan mangsa menjadi resah, murung
serta penyakit lain yang berkaitan dengan tekanan. Dalam kes tertentu,
buli siber boleh menyebabkan mangsa membunuh diri.
Kerajaan PH sebelum ini dilihat komited dalam membendung isu buli
siber ini. Mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo
dilaporkan telah mencadangkan supaya Kanun Keseksaan (Akta 547) dipinda
khususnya bagi menangani kes buli siber.
Justeru, Kerajaan PN ketika ini perlu mempamerkan kesungguhan mereka
dalam membendung isu buli siber ini. Pertingkatkan penguatkuasaan serta
keluarkan garis panduan dalam memastikan gejala buli seumpama ini dapat
dikurangkan secara signifikan.
Sebagai masyarakat yang bertamadun, kita sebagai rakyat Malaysia juga
perlu sentiasa menjaga adab kita. Budaya hormat-menghormati yang
dimiliki oleh masyarakat Malaysia di ‘alam nyata’, juga perlu
diaplikasikan atau diteruskan di alam siber. Jagalah perasaan
pengguna-pengguna di media sosial dengan menyedari realiti bahawa mereka
juga mempunyai hati, perasaan serta sensitiviti tertentu.
Budaya hormat-menghormati ini perlu dipupuk serta disemai sekarang
jika kita tidak mahu generasi akan datang terus menjadi mangsa buli
siber. Jika kita perlu meninggalkan legasi kita di dunia ini kelak,
biarlah ia dalam bentuk penerapan nilai-nilai murni kepada anak-anak
cucu kita. Gunakan kemudahan teknologi maklumat dengan berhemah
0 comments:
Catat Ulasan