Oleh Adam A Kadir
SATU trilion berangka begini: 1,000,000,000,000. Angka
satu diikuti 12 sifar. Itulah hutang negara yang tercinta ini. Rakyat
Malaysia berjumlah 33,000,000 (tiga puluh tiga juta orang). Ini bererti
tiap-tiap seorang menanggung RM33,303 (tiga puluh tiga ribu tiga ratus
tiga ringgit).
Amat mengagumkan rakyat Malaysia rata-rata menyambut paling positif
seruan agar mereka dengan segala ikhlas menyumbang secara sukarela
untuk melangsaikan hutang yang maha besar itu.
Dalam sejarah negara ini, sejak bernama Malaya lagi, inilah buat
pertama kali usaha menderma mendapat sambutan begitu rupa bagaikan
rakyat berarak hendak memasukkan wang walaupun beberapa sen setiap bulan
ke dalam akaun yang ditangani Kementerian Kewangan.
Lazimnya kita naik culas untuk memberi walaupun kepada pengemis sebab
bimbang kalau-kalau ada muslihat, tetapi dalam hal pelangsaian hutang
ini, keadaannya sangat-sangat luar biasa. Telefon menelefon bagaikan ada
sesuatu yang menggembirakan diri masing-masing sedang berlaku.
Saya teringat pada tahun 1962 Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman
menyeru agar rakyat Malaya menghulur derma kepada Tabung Selamatkan
Demokrasi yang bermaksud sebenarnya ialah ‘Selamatkan India’ kerana
sempadan India sudah diterobos China Komunis di bawah Mao Tze Tung yang
memungkinkan satu peperangan besar.
Rakyat India di sekitar sempadan India-Chinai sudah mengalami
penderitaan. Sambutan kepada seruan Tunku itu agak sejuk. Yang ketara
ramai sekali orang India menghulur sumbangan antaranya di Bank Negara.
Secara umum orang Melayu bersetuju dengan sinisme orang China bahawa
kempen derma itu ialah untuk Tabung Selamatkan India. Justeru seruan itu
boleh dikatakan tidak berjaya dan ia senyap-senyap pupus begitu saja.
Sebaliknya seruan PM Tunku yang menambat hati seluruh rakyat Malaysia,
tidak kira apa keturunan, ialah ketika Indonesia melancarkan Konfrontasi
terhadap Malaysia pada tahun 1963. Kelantangan Presiden Sukarno hendak
mengganyang Malaysia sampai lumat amat meremang bulu roma, maka semuanya
bersatu hati menghadapi apa yang Sukarno mahu lontarkan.
Serangan askar Indonesia di Johor di bawah kepimpinan Lt. Sutikno
tumpas di tangan askar kita dengan bantuan rakyat di sana. Sutikno
mengaku di TV Malaysia pada tahun 1965 bahawa beliau dan askar-askarnya
terpedaya dengan propaganda bahawa rakyat Malaysia akan mengalu-alukan
serangan mereka.
Keteguhan dan perpaduan rakyat Malaysia mempengaruhi banyak pihak
penting di Indonesia, bahawa banyak fakta buruk tentang Malaysia adalah
omong-omong kosong. Justeru plot menjatuhkan Sukarno dengan konco-konco
komunisnya bermula. Ia berakhir apabila Gestapu (kependekan Gerakan
Sepuluh September) tahun 1965 meletus.
Itulah titik hujungan era Sukarno dan bermulanya era Suharto. Yang
lain-lainnya sudah menjadi sejarah. Mesejnya: jika kita teguh bersatu
menghadapi dan menyelesaikan masalah, tiada penentang yang berani
menyanggah, malah mereka akan mengikuti jejak kita pula.
Kini masalah satu trilion jatuh ke riba kita. Emosi kecam dan kondem
setinggi Himalaya terhadap siapa yang bersalah tidak dapat dielakkan,
namun masalah di riba kita ini diterima dengan penuh tanggungjawab oleh
rakyat Malaysia. Kita terbukti berjaya menghadapi bahaya besar suatu
ketika dulu seperti disebut di atas. Tidak ada sebabnya kita tidak
berjaya menyelesaikan masalah satu trilion ini. Insya-Allah.
Masa depan Umno
Bayangkan seorang jaguh yang tidak pernah kalah dalam satu jangka yang
panjang tiba-tiba kalah terduduk, bagaikan KO. Begitulah nasib Umno
kini. Begitu lama saya menjadi ahli Umno, mungkin lebih lama daripada
mana-mana menteri dalam Kabinet terakhir PM DS Najib.
Di peringkat tertinggi, saya menganggotai Lembaga Disiplin. Di
peringkat akar umbi, saya menjadi ketua lebih 30 tahun. Kekandasan Umno
berlaku jauh terlewat kerana tanda dan gejalanya sudah lama kelihatan.
Firman ALLAH SWT selalu bermula dengan ‘tidakkah kamu nampak
tanda-tanda …’ sebelum pergi kepada maksud yang hendak disampaikan
kepada umat. Itulah juga kata-kata di permulaan Surah Yasin.
Walaupun tanda-tanda sudah lama kelihatan bahawa Umno akan terjerumus,
namun tindakan keluar parti bukanlah pilihan yang senang. Ibarat suami
isteri yang bersengketa, tidak bercerai, tetapi terus hidup bersama.
Moga-moga suatu hari nanti air keruh menjadi jernih.
Penungguan bergantinya pemimpin Umno yang ada dengan yang baharu adalah
satu sikap yang dikongsi ramai. Yang buruk bukan parti, tetapi orang
yang mengendalikannya, kata mereka. Apabila segalanya hancur, sedarlah
segala tanda dan gejala bukan saja tidak dipedulikan, malah diburukkan
seburuk-buruknya.
Mao Tze Tung pernah berkata, ‘apabila pokok tumbang, semua monyet akan
berpindah ke pohon baru yang lebih besar’. Adakah begitu dalam kalangan
ahli Umno kini?
* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan