Lantikan politik meningkat dalam pentadbiran Ismail ‘membimbangkan’, kata badan pemikir

 


PETALING JAYA: Seramai 119 lantikan politik baharu dalam badan berkanun persekutuan (FSB) dibuat ketika pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata sebuah badan pemikir yang menyifatkan ia perlu dikurangkan selepas kerajaan baharu dibentuk.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dalam kenyataan berkata, Umno mendahului jumlah lantikan politik dalam FSB iaitu 61 orang, diikuti Bersatu (19), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (15), PAS (7) dan MCA (5).

Sementara itu, sebanyak 115 lantikan politik daripada pentadbiran Muhyiddin Yassin dikekalkan di bawah kerajaan Ismail dengan Umno mendahului dengan 52 Bersatu (28) dan PAS (11).

Dapatan “Pantau Kuasa” itu mendapati, daripada 133 FSB, sebanyak 72 atau 54% badan berkanun menerima kesan langsung daripada lantikan politik berkenaan dan melibatkan 22 daripada 27 kementerian di bawah pentadbiran Ismail.

Kementerian yang mempunyai pelantikan politik terbanyak membabitkan Kementerian Pengajian Tinggi (10 FSB), Kementerian Pengangkutan (8 FSB), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (8 FSB), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (8 FSB) serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (7 FSB).

“Institut Koperasi Malaysia (IKMa) mempunyai jumlah pelantikan tertinggi dalam lembaga pengarahnya iaitu sebanyak 10 ahli politik, sementara 56 FSB sangat terdedah kepada pengaruh politik kerana mempunyai pengerusi yang mempunyai hubungan dengan parti politik, atau sama ada seorang atau bekas Ahli Parlimen, ADUN dan senator,” menurut dapatan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh, berkata mempunyai terlalu ramai figura politik dalam FSB ketika negara sedang dalam transisi dan pemulihan daripada Covid-19 menimbulkan persoalan mengenai aspek penilaian wajar dalam proses lantikan.

“Berdasarkan pendedahan oleh hasil kajian ini, adalah mustahak untuk semua parti politik berikrar untuk mengurangkan pelantikan politik sebagai sebahagian daripada manifesto mereka. Landskap politik pasca PRU15 harus menyaksikan pengurangan lantikan politik yang tidak mempunyai keperluan, terutamanya jika kita ingin melihat pentadbiran perniagaan yang lebih baik,” kata Yeoh.

“Katanya, kerajaan wajar melawan tekanan parti politik dengan memberi ganjaran kesetiaan menerusi lantikan politik dalam FSB demi kepentingan rakyat.”

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan