Ini bukan negara atuk, abah atau papa, ini negara kita


 Oleh NIK KHATIJAH NIK MUD

Semakin hari semakin banyak drama politik yang terjadi dalam negara kita. Rakyat semakin pening dan tertanya-tanya dengan kekalutan langkah para pemimpin baik daripada belah kerajaan mahupun pembangkang. Apa sudah jadi dengan negara ini?

Situasi genting yang berlaku dalam negara sekarang sedikit sebanyak telah menunjukkan tahap keupayaan pemerintah hari ini yang lemah dan tidak berprinsip.

Setiap langkah yang diambil oleh pemerintah nampak serba tidak kena dan seolah-olah mempunyai muslihat dan lebih bersifat peribadi yang boleh mengheret negara ke arah situasi yang lebih buruk.

Masa depan rakyat dan negara kini tidak menentu kerana mainan politik dan perebutan kuasa yang berpanjangan semenjak beberapa bulan yang lalu.

Pada saat negara terus dihimpit dengan peningkatan kes Covid-19, para pemimpin yang kita harapkan akan menjadi perisai, menjaga rakyat dari segenap arah, malangnya lebih sibuk mengatur strategi untuk saling menguasai, mencari ruang kuasa dan pangkat di celah-celah keresahan dan kesempitan golongan marhaen yang terkesan dengan polisi dan dasar yang dibuat oleh pihak kerajaan.

Sedih mengenangkan betapa keluh kesah rakyat seolah-olah tiada nilai di mata para pemimpin. Apa gunanya ada pemimpin, mahupun abah, atuk atau papa jikalau anak-anak kelaparan mengemis tiada hala tuju tanpa pembelaan sewajarnya?

Apakah kita masih mahu berdiam diri, menanti kekacauan dan huru-hara disebabkan permainan mereka? Ayuh kita bangkit mempertahankan hak kita sebagai rakyat untuk memilih pemimpin terbaik yang kita ingini. Herdikan sosial harus dikuatkan agar para pemimpin tahu akan kuasa yang ada pada rakyat.

Perkara ini ada disebut oleh Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam program Bicara Bina Negara anjuran Jabatan Kajian dan Advokasi, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) pada September yang lalu.

Menurut beliau, masyarakat perlu berperanan untuk sentiasa mengherdik para pemimpin yang menunjukkan sikap tidak bertanggujawab serta tidak telus dalam kepimpinan mereka, apatah lagi apabila melibatkan perkara atau tindakan yang mampu mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara dan rakyat.

Politik berprinsip dan berwibawa

Pemimpin negara seharusnya berfikir dan bertindak secara rasional dalam mendepani wabak Covid-19 ini agar keadaan negara dan rakyat tidak menjadi makin teruk.

Apa yang diperlukan oleh negara hari ini adalah kebijaksanaan serta ketelusan dan sikap bertanggungjawab para pemimpin selain dasar yang jelas oleh pelbagai kementerian bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Usahlah mempertaruhkan nasib rakyat dengan dasar dan tindakan yang kurang matang, sebaliknya perlu berusaha untuk memperkemas sistem dan seluruh jentera kerajaan agar dapat berfungsi dengan cekap dan menyeluruh tanpa mengabaikan kebajikan para pekerja dan juga rakyat jelata.

Ahli-ahli politik harus segera menamatkan kemelut politik yang melanda dan berusaha mengembalikan kestabilan kerajaan berlandaskan lunas undang-undang negara.

Hentikan semua drama politik murahan yang boleh mempamerkan ketidakupayaan para pemimpin dalam mengemudi negara terutamanya dalam situasi wabak Covid-19 ini.

Pemerintah hari ini bukan sahaja gagal menonjolkan kepimpinan yang berkualiti serta berwibawa, malahan mengambil langkah di luar jangkaan yang melanggar prinsip demokrasi negara untuk terus berkuasa.

Sebaiknya, ahli-ahli politik perlu bersedia membuat rundingan berbentuk kerjasama (collaborative) demi mewujudkan kerajaan yang stabil demi kepentingan rakyat dan negara.

Kepimpinan negara perlu diterajui oleh mereka yang benar-benar ikhlas, berwibawa, bermaruah, berintegriti dan kompeten dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi oleh rakyat.

Amat tidak patut terjadi apabila para pemimpin lebih rela menggadaikan maruah diri dan pilihan rakyat untuk kepentingan peribadi atau parti politik masing-masing.

Darurat kerana Covid-19 atau politik?

Negara sekali lagi digemparkan dengan berita tentang kemungkinan pengisytiharan darurat dalam masa terdekat. Menurut PN BBC Portal, kerajaan akan mengumumkan ‘darurat kesihatan’ dalam tempoh terdekat bagi memberi lebih tumpuan kepada usaha menangani isu penularan COVID-19.

Pengisytiharan darurat di negara kita bukanlah sesuatu yang asing kerana negara pernah beberapa kali berpengalaman dalam situasi darurat sama ada disebabkan oleh perang, kekacauan awam, krisis politik mahupun bencana alam.

Antara yang paling diingati adalah Rusuhan 13 Mei yang mana rusuhan kaum telah berlaku selepas pilihan raya pada 10 Mei 1969.

Selain itu, negara juga pernah mengisytiharkan darurat di wilayah tertentu di Sarawak, Selangor dan Johor pada tahun 1997, 2005 dan 2013 disebabkan oleh jerebu yang teruk sehingga menyebabkan penutupan operasi sektor awam dan swasta yang tidak penting.

Namun begitu, keputusan untuk mengisytiharkan darurat disebabkan wabak Covid-19 telah mengundang reaksi yang kurang senang, bukan sahaja daripada pihak pembangkang malahan masyarakat sendiri.

Rata-rata tidak berpuas hati dan menganggap langkah ini sebagai satu strategi yang tidak matang dan berbaur politik demi untuk mempertahankan kedudukan politik masing-masing.

Selain itu, menjadi persoalan besar juga kerana negara sebenarnya sudah pun mempunyai undang-undang atau akta yang sedia ada iaitu Akta 342, Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 yang boleh digunakan yang membenarkan pihak kerajaan untuk menguat kuasa arahan kuarantin dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan Covid-19 seperti mana yang telah dilaksanakan sejak Mac yang lalu.

Malahan, negara juga telah membuktikan bahawa pelaksanaan PKP telah berjaya mengawal dan mengurangkan penularan wabak tersebut dengan pengawalan dan pematuhan SOP secara ketat oleh semua lapisan masyarakat.

Jadi, adakah negara benar-benar berada di tahap yang tidak terkawal sehingga perlu diisytiharkan darurat atau adakah terdapat tujuan lain (hidden agenda) yang tidak diketahui umum?

Walau apa pun justifikasinya, rakyat mengharapkan keputusan terbaik daripada pemimpin negara dan diharapkan pemerintah sentiasa meletakkan kepentingan dan keselamatan rakyat sebagai asas yang paling utama dalam menentukan sebarang keputusan mahupun polisi.

Di kala ini, kecekapan dan kebijaksanaan pemimpin untuk membuat perkara yang betul dan tepat (do the right thing at the right time) amat ditagih oleh rakyat.

Kita doakan kestabilan negara yang kita cintai ini akan terus terpelihara daripada segala tindakan tidak bertanggungjawab tangan-tangan yang merosakkan

Ayuh kita bersama-sama berganding bahu, saling membantu dan menyokong satu sama lain tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, kaum, etnik mahupun ideologi politik untuk terus melawan Covid-19.

Sama-sama kita berjuang untuk mengembalikan kestabilan politik dan ekonomi negara demi membawa Malaysia menjadi sebuah negara rahmah yang harmoni dan sejahtera.


Penulis adalah aktivis Ikram Malaysia

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan