Di mana PAS dalam amal soleh?

Oleh NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ

ISLAM adalah agama daripada Allah yang menciptakan sekelian alam. Ia diturunkan sebagai satu anutan yang suci dan benar untuk umat manusia. Dengannya, manusia dan seluruh alam raya bersatu hati menyembah Allah tuhan yang satu. Maka terbinalah sebuah kedamaian dan kesejahteraan hidup yang berada di puncaknya.

nik abduh1Kesejahteraan yang hakiki bermaksud mencapai maksud sebenar kehidupan sebagaimana yang dimahukan oleh Allah yang menciptakan manusia. Apabila manusia berjaya melaksanakan matlamat dan kewajiban sebenar hidupnya, maka dia akan mencapai redha dan kepuasan daripada Allah. Allah akan sentiasa merahmatinya dengan kasih sayang tertinggi daripada-Nya samada di dunia mahu pun di akhirat nanti.

Matlamat hidup adalah menyembah Allah dengan menjadi seorang khalifah-Nya di bumi dengan misi menjadi individu soleh yang sempurna, seterusnya menyumbang ke arah menegakkan agama Allah di muka bumi dengan kekuasaan dan perlaksanaan hukum dan arahan-Nya di dalam kehidupan manusia.

Di akhirat nanti, di mana kehidupannya adalah kekal abadi dengan kehendak-Nya, manusia yang telah berjaya mencapai redha-Nya di dunia akan dibalas dengan anugerah terbesar iaitu syurga-Nya yang penuh dengan kemuncak nikmat. Di situlah kehidupan hakiki bermula. Dunia hanyalah bersifat sementara dan ujian semata-mata.

Bagaimana menjadi muslim yang berjaya? Secara ringkas, mari kita memahami dengan baik perjalanan yang disusun cantik melalui pengajaran Rasulullah yang mengajarkan kita tentang agama Islam ini dan bagaimana kita beramal dengannya. Ia adalah perjalanan menangga dari awal dan bawah sehinggalah hujung dan puncaknya.

Menganuti agama Islam adalah tangga pertama menuju puncak. Bermula dengan ucapan kalimah syahadah memperakui keesaan Allah dan kerasulan nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam, seseorang itu dianggap telah berada di landasan yang betul untuk terus bergerak maju menuju Allah sehinggalah akhir hayatnya.

Kalimah syahadah memisahkan manusia kepada dua kumpulan besar. Satu adalah muslim yang mengucapkan kalimah syahadah itu tanda beriman kepada Allah sebagai tuhan yang mesti disembah.

Satu lagi adalah kumpulan kafir. Kafir bermaksud menolak untuk beriman kepada Allah, bahkan menyembah tuhan-tuhan palsu selain Allah atau menyembah nafsunya sendiri seperti halnya golongan atheis yang menolak kewujudan tuhan sepenuhnya. Mereka juga dinamakan golongan musyrikin iaitu yang mensyirikkan Allah atau menyamatarafkan Allah dengan makhluk-Nya sendiri.

Ia adalah kesalahan jenayah paling jahat yang dilakukan oleh manusia yang tidak pernah dilakukan oleh makhluk Allah yang lain selain iblis laknatullah.

Anda perhatikan bahawa kalimah syahadah telah menyatukan manusia menjadi satu walaupun berbeza pada bangsa, bahasa, warna kulit, geografi, zaman dan sebagainya. Walau berbeza, mereka adalah muslim yang satu.

Anda perhatikan juga bahawa kekufuran juga menyatukan manusia. Walaupun mereka berbeza ugama, hakikatnya mereka adalah satu iaitu musyrik. Justeru manusia walau beribu perbezaannya, hakikatnya hanyalah dua, iaitu samada muslim atau kafir.

Dari tangga pertama iaitu menjadi seorang muslim, agama menggerakkan kita agar lebih serius dan benar di dalam beragama. Ia mengajak kita kepada hakikat bahawa Allah maha mengetahui hakikat diri kita samada benar-benar menyembah Allah atau sekadar ucapan lidah yang menyimpang daripada isi sebenar di hati. Islam mengajak agar pengukuhan iman dilakukan.

Peringkat kedua ini adalah peringkat pemisahan muslim sejati daripada muslim yang bohong atau rapuh. Muslim yang bohong adalah penyakit yang mesti diubati. Lidahnya lancar berkata, "saya telah beriman." Tetapi hatinya masih teragak-agak, was-was dan keliru. Hatinya kadang-kadang masih menerima kesyirikan dan enggan membebaskan diri daripada kesyirikan.

Allah menolak untuk menyamakan muslim yang benar dan sejati dengan muslim yang bohong dan palsu. Justeru seorang muslim mestilah menangga menjadi seorang mukmin iaitu iman yang benar di dalam hatinya sebagaimana itulah pengucapan lidahnya.

Jika sebaliknya, maka penyakit nifak atau talam dua muka akan tumbuh dan melandanya. Semakin lama jika tidak diubati maka penyakit itu menjadi sebati dalam dirinya sehinggakan dia semakin membenci agamanya sendiri dan mula menyokong kekufuran. Hujungnya, dia akan dimurkai Allah sebagaimana Allah memurkai golongan kafir. Di akhirat nanti mereka akan menerima azab yang sama pedih dan teruk.

Apabila seorang muslim telah menangga menjadi mukmin, maka proses seterusnya adalah memastikan kelangsungan, ketepatan dan ketetapan lidah dan hati di atas ibadah kepada Allah. Ia adalah proses memastikan zahir dan batin seorang mukmin menjadi sama. Tiada beza antara zahir dan batinnya selain bersatu beribadah kepada Allah dengan penuh ikhlas dan sah.

Ia adalah tangga ihsan. Ihsan adalah melakukan ibadah zahir seperti solat beriringan dengan ibadah hatinya. Zahirnya menghadap kaabah tetapi hatinya melihat Allah, bukan kaabah di hadapannya. Ia adalah darjat ihsan, taqwa, syukur dan maqam hati yang luhur dan suci.

Bagi setiap individu muslim, inilah maqam tertinggi yang harus dikejar dan dicapainya. Ia adalah kemanisan dan ketenangan hakiki di dunia sebelum kemanisan dan ketenangan lebih hakiki di akhirat nanti.
Sebagaimana dinyatakan di awal tadi, seorang muslim di dunia membawa dua misi utama matlamat hidupnya iaitu membina diri menjadi insan sempurna dan kedua, menjadi penyumbang utama ke arah kekuasaan agama Allah di muka bumi bagi perlaksanaan segala hukum dan arahan tuhannya.

Justeru pada saat seorang muslim membina dirinya ke arah kesempurnaan dengan bermujahadah menuju darjat ihsan dan takwa, dia mestilah sentiasa sedar dan faham bahawa tugasannya akan terbantut jika dia gagal membina kekuatan untuk ugamanya di dunia ini. Apa erti diri yang kuat jika ugama yang dianutinya dibiarkan lemah tanpa penjunjungnya? Bukankah jelas, Allah telah menjemput para hamba-Nya agar menjadi pembantu dan pejuang ugama-Nya?

Pada kefahaman yang jelas ini, seorang muslim sedar bahawa dia mestilah menangga lagi ke atas dengan mengambil peranan lebih besar iaitu menjadi penyebar agama Islam di dalam keluarga dan masyarakatnya agar mereka menerima Islam untuk diri dan kehidupan mereka secara bersama.

Dakwah adalah darjat tinggi yang ke seterusnya selepas mujahadah membina diri. Para rasul dijulang tinggi oleh Allah kerana kejayaan mereka membawa misi dakwah selain jiwa mereka yang sempurna dengan keimanan yang tinggi.

Muslim atau mukmin atau muhsin yang gagal memasuki medan dakwah pada hakikatnya telah membantutkan usahanya sendiri untuk berlumba-lumba menuju Allah. Dunia dakwah dipenuhi dengan janji pengukuhan jiwa yang lebih tenang dan ganjaran pahala yang berganda-ganda.

Di darjat dan tingkatan ini, seorang pendakwah mestilah belajar dan menyempurnakan dirinya dengan ilmu, sifat dan kriteria tertentu yang akan membolehkannya maju dan berjaya di medan dakwah. Ia adalah sukar, tetapi setiap kesukaran mestilah dihadapi jika ingin mencapai kemudahan dan kejayaan.

Dengan dakwah, Islam tersebar ke serata dunia. Maka terbentuklah masyarakat muslim yang ramai. Daripada menyempurnakan kewajiban diri, setiap muslim akan menyedari bahawa ia juga mestilah melaksanakan kewajibannya di dalam masyarakat dan kehidupan. Dia dan saudara-saudara semuslimnya yang lain mestilah menyumbang kepada masyarakatnya.

Tiada sumbangan yang lebih benar selain melaksanakan arahan ugamanya yang sentiasa memandu manusia kepada keharmonian dan kebahgiaan hidup. Islam menerima dan menganjurkan al-makruf iaitu perkara-perkara baik di dalam masyarakat selain menolak dan menegah daripada yang munkar iaitu perkara-perkara buruk yang ditolak oleh masyarakat yang sihat.

Ketika setiap muslim bergerak untuk menyumbang kepada masyarakat, ia sebenarnya tidak akan mampu dilaksanakan dengan baik kecuali dengan kesepakatan dan kesatuan. Kebaikan yang besar tidak akan mampu ditarik kecuali dengan kesepaduan hati. Begitu juga, keburukan yang besar tidak akan mampu ditolak kecuali melalui kesepakatan yang besar juga.

Justeru daripada dunia dakwah yang penuh kemuliaan dan ketinggian, Allah menganjurkan amal yang lebih memuncak iaitu usaha menyatupadukan umat Islam agar menjadi satu kekuatan ke arah menggerakkan dan menjayakan misi Islam di dalam menyusun kehidupan manusia yang lebih harmoni dan bahagia sama ada di dunia sahaja atau kedua-duanya sekali iaitu dunia dan akhirat, khas bagi mereka yang mahukan kedua-duanya.

Walau bagaimanapun, dunia dakwah bukanlah semudah yang disangka. Di peringkat inilah bermulanya tribulasi dan penentangan yang semakin nyata terhadap Islam. Dunia kekufuran mula bersatu menolak dan menentang. Mereka berusaha memadamkan cahaya Allah dengan segala kekuatan walaupun secara zalim dan melewati erti dan batas kemanusiaan.

Di sini dakwah tersekat. Ada daripada kalangan pendakwah berhenti dan tidak bersedia mara melepasi halangan yang semakin dahsyat. Sebahagian besar tidak bersedia menempuh kesukaran.

Justeru anda dapati Islam berada di persimpangan untuk maju mencapai matlamat besarnya memperolehi kekuasaan di muka bumi. Ia memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang tinggi daripada para penganutnya.

Di sinilah Allah menawarkan tingkatan tertinggi amal Islami iaitu medan jihad menegakkan agama-Nya. Jihad bererti bersungguh-sungguh dan berkorban segala milik dan kepunyaan untuk ugama Allah. Tubuh, masa, tenaga, harta dan nyawa sedia dikorbankan pada saat agama memerlukannya. Siapakah yang bersedia mencapai darjat ini?

Allah menjanjikan ganjaran tertinggi buat para pejuang yang berjuang untuk ugama-Nya. Ia adalah tugas agung para rasul di dalam menghancurkan kekuatan musuh Allah yang berusaha menghancurkan ugama dan para hamba-Nya yang beriman. Di medan inilah Firaun, Abu Jahal dan kuncu-kuncunya dihancurkan.

Jihad menuntut kesatuan yang nyata. Jihad sama sekali tidak akan berjaya tanpa kesatuan jentera dan hati para pejuangnya. Ia akan menjadi perjuangan yang sentiasa gagal jika syarat-syarat jihad tidak dilaksanakan. Jihad menuntut ketelitian dan disiplin amal yang cukup tinggi.

Apabila anda memahami ini dengan baik, marilah dan sukacitalah saya mencadangkan agar anda melihat parti PAS, peranan dan kedudukannya di dalam medan amal Islami. Tajuk tulisan ini adalah untuk mengajak anda mengenali PAS dengan lebih baik dan comel.

PAS berkongsi dengan semua umat Islam menganjurkan umat ke arah kehidupan beragama yang benar. Ia menganjurkan pembinaan individu dan pembersihan jiwa melalui pengajian dan taklim di seluruh ceruk negara. Para asatizah dan murabbi PAS jumlahnya beribu-ribu dan berperanan di mana-mana demi pembinaan umat yang solehin.

PAS adalah parti dakwah. Peranan PAS di dalam dunia dakwah dengan kepelbagaian seni dan tuntutannya yang sentiasa diperbaharui dan diterokai adalah nyata. PAS berusaha memahiri seni dakwah agar mampu menarik seramai mungkin manusia kepada Islam. Malah dengan kekuatan jenteranya yang ramai dan gigih, PAS adalah fenomena di dalam dunia dakwah tanah air.

Jika anda secara insaf dan adil melihat PAS berjihad mempertahankan agama Islam daripada dicerobohi musuh-musuh Islam, seteruskan bertungkus-lumus menyeru dan menyatukan umat di atas tali Islam, maka anda pasti akan menilai PAS dengan penuh insaf dan adil juga bahawa PAS telah berperanan besar di dalam menggerakkan umat agar bergabung melaksanakan kemuncak amal Islami iaitu al jihad fi sabilillah demi menegakkan agamanya.

Ia adalah medan yang penuh kebisingan, keperitan, kesengitan dan kesakitan. Ia adalah medan penentangan dan pertembungan musuh Allah dengan para pejuangnya yang kental dan berani.

Jika anda bertanya, mengapa PAS sentiasa saja sengit dan bising? Jawabannya adalah kerana itulah tabiat medan dakwah dan jihad yang benar. Lihatlah bumi al-Aqsa, ia kekal bising dan sengit sehinggalah Allah nantinya mewariskan bumi-Nya itu kepada para hamba-Nya yang berjihad dengan penuh ketakwaan.

Adakah anda masih berfikir bahawa Islam adalah agama senyuman tanpa taring? Jika begitu, itu bukanlah Islam yang difahami dan dianuti PAS.






































Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan