Siapa yang betul-betul gila sekarang?

Oleh DINSMAN

Mahathir adalah suatu perwatakan yang istimewa, unik, menarik dan hebat. Katalah apa-apa pun kepada dia atau mengenai dia, positif mahupun negatif, atau tersangat negatif pun, dia tetap dengan perwatakan dia yang sentiasa terbuka kepada kemungkinan. Watak seorang pejuang yang tak pernah berhenti berjuang walaupun usianya sudah 93 tahun.

Tak siapa dapat menjangka atau mempercayai sebelumnya bahawa apa yang sedang berlaku hari ini akan berlaku. Apabila Mahathir mula menyatakan ketidaksenangannya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak, orang-orang Pas mula menyebut bahawa do a almarhum Presiden Pas Ustaz Fadzil Noor telah dimakbulkan Tuhan dan sedang menjadi kenyataan, iaitu Mahathir dipanjangkan umurnya untuk melihat sendiri kesan-kesan buruk dari perbuatannya semasa memerintah negara.

Masa berlalu, dan Mahathir semakin melibatkan diri ke dalam gerakan menentang Najib, hinggalah sampai kepada dia menubuhkan parti baru, Parti Bersatu Peribumi Malaysia (PBPM atau Bersatu) dan bergabung dengan Keadilan, DAP dan AMANAH membentuk Pakatan Harapan, dan dia dipersetujui menjadi ketua kepada Pakatan Harapan (PH) dan bakal Perdana Menteri Malaysia sekiranya PH menang dalam PRU14.

Jelaslah apa yang berlaku itu adalah lebih daripada sekadar doa Ustaz Fadzil yang dimakbulkan Tuhan untuk Mahathir melihat sendiri kesan buruk daripada perbuatan mungkarnya. Sebaliknya Mahathir kini dilihat sebagai tokoh utama penyelamat negara Malaysia yang dikatakan sedang menuju kehancuran akibat pemerintahan Najib-Rosmah.

Ternyata tidak ada seorang pun rakyat Malaysia mahupun para pemimpin yang ada kini, termasuk pemimpin Reformasi Anwar Ibrahim, yang berkemampuan untuk menghalang Najib daripada terus berkuasa dan membawa Malaysia kepada keadaan yang lebih teruk itu, hingga semua pemimpin pakatan pembangkang terpaksa bersetuju mengangkat Mahathir untuk melaksanakan misi besar mereka.

Sosok yang beberapa tahun lalu dimusuhi, dicemuh dan dikata nista dengan pelbagai kata itu, termasuk saya sendiri pun mengata dia Macam Orang Gila di samping menulis beberapa buah buku seperti Gawat: Gagalnya Formula Mahathir (1998), Mahathir (Ekonomi) Perang Aqidah (1999) dan buku puisi Macam Orang Gila (2001) kini segalanya bertukar dan terbalik.

Suatu keadaan yang tidak pernah dijangka. Memang ada orang yang tidak mahu dan tidak bersetuju menerima Mahathir sebagai pemimpin untuk menjatuhkan Najib dan membentuk kerajaan baru yang lebih baik. Tetapi realiti politik hari ini yang akan menjalani pilihanraya umum 9 Mei nanti, hanya ada dua pilihan: Najib atau Mahathir. (Yang seorang lagi Hj Hadi Awang pemimpin Pas itu tidak dianggap sebagai alternatif kepada dua pilihan itu, melainkan oleh ahli-ahli parti itu sendiri).

Seperti saya katakan di permulaan tulisan ini: Mahathir adalah suatu perwatakan yang istimewa, unik, menarik dan hebat. Dia yang di sekitar tahun 1999 dan berikutannya pernah saya laungkan di merata tempat di hadapan ribuan khalayak melalui puisi mengatakan bahawa Rakyat tengok dia macam orang gila, dan akhirnya rakyat tengok dia Betul-betul gila!

Sekarang kawan-kawan bertanya saya: Siapa yang betul-betul gila sekarang? Maksudnya orang tidak lagi melihat Mahathir seperti orang melihatnya 18-20 tahun lalu. Kalau dulu saya laungkan dia Macam Orang Gila , ribuan orang di depan pentas akan ikut melaungkan yang sama Macam Orang Gila . Tetapi sekarang saya tak mungkin lagi melaungkan puisi itu sebegitu. Kalau saya laungkan juga begitu pastinya orang akan boo dan sorak saya.

Memang saya selalu mengatakan bahawa masyarakat Malaysia hari ini adalah masyarakat yang materialistik dan oportunistik disebabkan oleh dasar-dasar pemerintahan dan kepemimpinan Mahathir. Masyarakat kita menjadi masyarakat yang hilang keupayaan untuk bertindak melawan kezaliman, pembohongan, rasuah, perompakan dan salahguna kuasa adalah disebabkan oleh sikap mereka yang terlalu materialistik dan oportunistik itu.

Bagi saya kesalahan yang telah dilakukan oleh Mahathir sangatlah besar. Dialah juga yang telah meng aibkan orang Melayu dengan tindakannya melumuri najis ke muka orang Melayu melalui tuduhan-tuduhan seksual melampau terhadap Anwar, yang diikuti dengan pelbagai tindakan mendedahkan ke aiban di khalayak umum. Hal yang tidak pernah terjadi dalam masyarakat Melayu sebelumnya.

Tidak pernah terbayang dan terfikirkan bahawa perwatakan yang disifatkan mahazalim dan mahafiraun 18-20 tahun dulu itu akan bertukar sepenuhnya menjadi suatu watak penyelamat yang diperlukan oleh bangsanya, oleh rakyat pelbagai kaum di negaranya yang sedang berada dalam keadaan tidak selamat oleh beberapa ancaman khasnya ekonomi dan keselamatan/kedaulatan.
Memang ia perwatakan yang sangat menarik.

Sungguhpun saya meletakkan kesalahan yang besar ke atas dirinya, namun saya tak dapat mengelakkan diri daripada mengkagumi kehebatan perwatakannya yang luarbiasa itu. Bagaimana dia boleh menukar kemarahan dan kebencian serta permusuhan berjuta orang terhadapnya, menjadi lembut dan dapat menerimanya sebagai seorang pemimpin yang diperlukan untuk memimpin mereka ke arah kebaikan, atau ke arah kehidupan yang lebih baik.

Saya percaya ramai orang tertanya-tanya akan perkara ini, seperti mereka juga bertanya dalam keadaan yang keliru dan hairan: Mengapa Mahathir? Mengapa tidak orang lain? Mengapa mengangkat semula orang yang kita sendiri telah membuangnya?

Apakah dia begitu sekali hebat sehingga kita terpaksa mengubah sikap dan pendirian kita terhadapnya, walaupun dia telah membuat pelbagai dosa dan jahat kepada kita?

Dan dalam keadaan orang ramai keliru, hairan dan tertanya-tanya itu tak semena-mena seorang penulis, Ahmad Lutfi Othman, menerbitkan sebuah buku nipis (100 halaman) berjudul: Mengapa Mahathir? Saya telah membaca buku ini dan segera mencatatkan reaksi awal saya dalam fesbuk, begini:

Dalam penulisan, terutamanya hal politik yang mengelirukan seperti suasana politik Malaysia hari ini, tidak ada yang lebih sukar daripada meletakkan perspektif yang tepat dan jelas dengan fakta dan hujah yang lengkap, yakni bukan berpilih-pilih, hingga pembaca mendapat maklumat yang seperlunya lalu fikiran jadi terbuka dan dapat merumuskan perkara dan persoalan yang dibincangkan dengan munasabah dan memuaskan, tanpa keraguan, melainkan mereka yang memang berprasangka sebaliknya.

Dan kerja sukar itu berjaya dilakukan oleh Ahmad Lutfi Othman dengan bersahaja dan meyakinkan, kerana dua faktor pengetahuan yang luas dan ingatan yang tajam mengenai perkara yang dibincangkan; dan penguasaan bahasa serta keterampilan dalam gaya penceritaan atau naratif persembahannya.

Bacalah buku ini, sebelum anda melangkah kaki ke bilik mengundi pada 9 Mei nanti.

Untuk dapatkan buku "MENGAPA MAHATHIR ? "
Hubungi Kami/Whatsapp:-
www.wasap.my//60192903291- Man (Penerbit)
www.wasap.my//60143233287- Ali Sekitar KL
www.wasap.my//60196664375 - Kak Ros sekitar
Keramat/w.maju/ Melawati,Gombak
www.wasap.my//60192263830 -Zaini Sekitar Paya jaras, Sg buloh, Subang bestari ,Puncak alam,
Tasik Puteri Rawang , Damansara dan sekitarnya
www.wasap.my//60126190719 - Fazal Sekitar Taiping,Perak,
www.wasap.my//60125616351 -Wandy sekitar Alor Setar,Kedah
www.wasap.my//601110658459 -BD Sekitar Jitra,Kedah
www.wasap.my//601112525816 Jasni - sekitar Changlon ,Kedah.
Harga RM13, tidak termasuk kos pos laju.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan